Shahrolnet
BuLaN PeNgHaFaZ BLOG: Susah dan Senang Juga Merupakan Peringatan Allah

Rabu, 21 Disember 2011

Susah dan Senang Juga Merupakan Peringatan Allah


Dari kecil sehingga kini.. Adakah Iman kita mantap dan sentiasa kekal diatas?
IMAN adalah harta paling berharga dimiliki seseorang Muslim dan bertindak sebagai piawaian yang menentukan martabat seseorang manusia di sisi Allah sama ada bahagia di dunia dan akhirat atau sengsara yang tidak berkesudahan dalam neraka.

Jadi, untuk menilai tahap kualiti iman seseorang Muslim, maka Allah sentiasa mengujinya dengan pelbagai bentuk ujian dalam kehidupan sehariannya. Adakalanya ujian berupa musibah atau bala yang amat membebankannya dan ada juga ujian berbentuk sesuatu yang amat menyenangkan hatinya.

Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud, �Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan� (al-Anbia:35)

Meminjam kata-kata Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di bawah Bayangan Al-Quran, beliau menegaskan kedua-dua bentuk ujian itu sebenarnya mempunyai tujuan sama iaitu untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia supaya tidak lupa diri kepada Allah. Namun, apa yang berlaku. ramai yang tidak sedar diri mahupun insaf dengan peringatan Allah itu.

Justeru, ramai yang lupa diri dan akhirnya mereka mula semakin berani melanggar hukum hakam ketetapan Ilahi. Kebanyakan umat Islam kini tersalah faham akan pengertian ujian yang sebenarnya diturunkan Allah kepada setiap Muslim.

Secara umumnya, umat Islam rata-rata memahami ujian hanyalah dalam bentuk musibah, bala bencana, kepayahan, kesulitan dan sebagainya yang menimpa kepada seseorang insan yang akhirnya menyebabkannya berada dalam keadaan serba kesusahan.

Ada juga segelintir manusia yang menganggap bahawa hidup ini penuh dengan kesenangan dan keseronokan semata-mata serta sekadar bersuka ria saja, sedangkan kesenangan dan kesusahan adalah antara beberapa siri ujian yang sentiasa menemani sepanjang hidup setiap insan di bumi Allah ini.

Begitulah lumrah realiti kehidupan yang sentiasa menghiasi pentas hidup manusia. Ada kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan, kegembiraan dan kedukaan, untung dan rugi, sihat dan sakit dan sebagainya. Yang penting, ujian yang mendatang itu adalah sebagai ukuran terhadap iman yang bertakhta dalam sudut hati, sama ada berjaya atau tidak, ia adalah bergantung kepada sejauh mana kemampuannya mendepani ujian berkenaan.

Begitulah cermin kehidupan yang dapat kita lukiskan melalui pengalaman hidup yang ditempuhi setiap insan sepanjang masa. Perlu diinsafi semua itu sebahagian daripada Sunnatullah. Bagi orang beriman, mereka sudah tentu dapat memahami konsep itu kerana mereka betul-betul meyakini manusia hanya merencana dan merancang, tapi Allah jugalah yang menentukan segala-galanya.

Dari segi lain, kegagalan kali pertama bukan bererti gagal untuk selama-lamanya. Ini falsafah hidup yang sewajarnya menjadi pegangan hidup Muslim di dunia yang serba mencabar ini di mana kegagalan yang ditempuhi mampu menyuntik kembali semangat juang dan keimanan serta ketabahan dalam menelusuri titian hidup.

Kesimpulannya, ujian hidup ini sebenarnya adalah satu perjalanan hidup yang pasti dan mesti dilalui oleh setiap insan yang menghuni bumi Allah ini. Setiap insan sewajarnya bersiap sedia kerana ujian itu kadang-kadang menjelma tanpa diundang dan disedari olehnya biarpun tidak dirancang.



Ujian itu berada di bawah ketentuan dan ketetapan Ilahi. Paling penting tidak kira sama ada kesenangan atau kesusahan menimpa, setiap Muslim berbekalkan keimanan kepada Allah semestinya bersedia mendepani liku hidup yang penuh onak. Ingatlah kepada Allah sentiasa dalam semua keadaan, mudah-mudahan rahmat dan hidayah Allah menemani setiap detik hidup insan yang beriman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan