Shahrolnet
BuLaN PeNgHaFaZ BLOG: Mei 2012

Khamis, 10 Mei 2012

HARI HARI MERUPAKAN HARI IBU

Bilakah kali terakhir anda mengucup tangan kedua ibu bapa anda? Adakah pada Hari Raya yang lepas ataupun dua tahun yang lepas ataupun anda tidak pernah melakukannya seumur hidup anda ataupun anda telah kehilangan kedua ibu bapa anda tanpa sempat anda meluahkan betapa anda menyayangi dan mengasihi mereka.


Tidak kira apa situasi anda sekarang atau setinggi mana jawatan anda sekarang, laksanakanlah hak-hak sebelum mereka menutup mata. Orang tua tidak minta dilimpahkan dengan kemewahan, bagi mereka kasih sayang adalah perhatian dan tingkah laku yang dibuktikan dengan sifat-sifat mahmudah dan kemuliaan.


Jangan merasa malu untuk meluahkan rasa sayang anda terhadap mereka walaupun mereka tidak pernah meluahkan kepada anda. Jangan nanti ada penyesalan yang bersarang di dada kerana tidak dapat menunaikan tanggungjawab anda sebagai anak setelah kematian mereka. Jangan nanti ada penyesalan kerana tidak pernah mengucup dahi kedua ibubapa tercinta selain pada hari pengebumian mereka.


Tidak kira anak lelaki ataupun anak perempuan masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kepada mereka sebelum mereka menutup mata. Satu peringatan bahawa keredhoan Allah SWT adalah terletak pada keredhoan ibu bapa. Jangan meminta balasan dan ganjaran atas apa yang anda lakukan terhadap mereka kerana kasih sayang dan pengorbanan yang mereka limpahkan pada kita selama ini tidak akan terbalas sehingga saat kematian kita kelak.



SELAMAT HARI IBU KEPADA BONDA YANG TERSAYANG DAN SEMUA KAUM-KAUM YANG BERGELAR IBU..
SELAMAT HARI IBU 2012 !!!

Selasa, 8 Mei 2012

Qalbu



Wahai hatiku....Ikhlaskan niatmu...Dalam menuntut ilmu....

Hormatilah guru......Juga ibubapamu......Dalam mencapai impian mu...

Wahai hatiku........ Niatmu perlu suci.......Dalam perjuangan......

Wahai hatiku.......Tingkatlah imanmu........Dalam menempuh dugaan...

Wahai hatiku...... Berhati-hatilah kamu......Terhadap ujian dunia......

Wahai hatiku......Tingkatlah amalmu......Semoga kamu diredhaiNya.....

Wahai hatiku........Amallah sunnah Nabi......Semoga kamu dirahmatiNya...

Wahai hatiku......Sedarlah kamu......Sebelum kamu dimatikan...... 

Wahai hatiku.......Ingatlah pada mati.......Kerana itu yang terbaik.......

Wahai hatiku....... Zikrullah kamu.......Dalam tatacara hidupmu........

Wahai hatiku.......Bersihlah anggota kamu......Dengan bersujud merendah diri.......

Ya Allah,Ya Tuhanku.....Ampunilah dosa-dosaku......Semoga aku diterima oleh kamu.........

UJIAN ITU IBARAT KEMUNCUP

Ujian itu adalah ibarat kemuncup yang melekat di seluar kita melalui padang yang luas. Adakah kita akan berpatah balik atau meneruskan perjalanan setelah kita terkena kemuncup?

Sepatutnya kita meneruskan perjalanan walaupun kemuncup penuh di seluar kerana di akhir perjalanan nanti kita akan membuang kemuncup tadi. Begitulah ujian sama ada kegagalan atau kekecewaan yang dihadapi sepanjang perjalanan hidup kita, apakah kita akan berpatah balik? Jawapannya, tidak. Kerana jika kita memikirkan tentang kemuncup pasti kita akan berhenti berjalan dan bagaimana dengan destinasi tujuan kita? Teruskan perjalanan dan biarkan kemuncup itu melekat, kita boleh menanggalkannya bila tiba di destinasi.

 Semoga kemuncup itu boleh menjadi kenangan dan sejarah di dalam kehidupan kita bila kejayaan sudah berada di tangan.  



Tahniah semua warga ISMP yang berjaya ditempatkan di sekolah-sekolah nanti dalam jangkaan bulan JUN 2012. Semoga anda berjaya menjadi seorang pendidik berjiwa GURU yang akan mendidik anak bangsa kita. Tersalah mendidik maka rosaklah generasi anak bangsa kita.

BURUNG GAGAK DENGAN AYAH DAN ANAK




Pada suatu petang seorang tua bersama anak mudanya yang baru menamatkan pendidikan tinggi duduk berbual-bual di halaman sambil memerhatikan suasana di sekitar mereka. Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting pokok berhampiran. Si ayah lalu menuding jari ke arah gagak sambil bertanya, "Nak, apakah bendanya itu?" "Burung gagak", jawab si anak. 

 
Si ayah mengangguk-angguk, namun sejurus kemudian sekali lagi mengulangi soalan yang sama. Si anak menyangkakan ayahnya kurang mendengar jawapannya tadi lalu menjawab dengan sedikit
kuat, "Itu burung gagak ayah!"

Tetapi sejurus kemudian si ayah bertanya lagi soalan yang sama. Si anak merasa agak keliru dan
sedikit runsing dengan soalan yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat, "BURUNG GAGAK!!" Si ayah terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian sekali lagi mengajukan soalan yang serupa hingga membuatkan si anak hilang sabar dan menjawab dengan nada
yang hendak tak hendak melayan si ayah, Gagak la ayah.......". Tetapi agak mengejutkan si anak, apabila si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanyakan soalan yang sama. Dan kali ini si anak benar-benar hilang sabar dan menjadi marah."Ayah!!! saya tak tahu samada ayah faham atau tidak. Tapi sudah lima kali ayah bertanya soalan tersebut dan saya sudah pun memberikan jawapannya. Apa lagi yang ayah mahu saya katakan???? Itu burung gagak, burung gagak la.....", kata si anak dengan nada yang begitu marah. Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang terpinga-pinga. 




Sebentar kemudian si ayah keluar semula dengan sesuatu di tangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya yang masih geram dan tertanya-tanya. Ianya sebuah diari lama. "Cuba kau baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu", pinta si ayah. Si anak akur dan membaca
perenggan yang berikut...

"Hari ini aku di halaman melayan karenah anakku yang genap berumur lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon berhampiran. Anakku terus menunjuk ke arah gagak dan bertanya, "Ayah, apa tu?". Dan aku menjawab,"Burung gagak". Walau bagaimana pun, anak ku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali aku menjawab dengan jawaban yang sama. Sehingga 25 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangkannya aku terus menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap ianya menjadi suatu pendidikan yang berharga."

Setelah selesai membaca perenggan tersebut si anak mengangkat muka memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu.

Si ayah dengan perlahan bersuara, "Hari ini ayah baru bertanya kau soalan yang sama sebanyak lima kali, dan kau telah hilang sabar serta marah." 


Moralnya "Hormatilah Kedua Ibu Bapa Selagi Masih ada"................


BuLaN PeNgHaFaZ BLOG: ITU SEMUA RANJAU DALAM PERJALANAN DAN SEMUA PASTI ...

BuLaN PeNgHaFaZ BLOG: ITU SEMUA RANJAU DALAM PERJALANAN DAN SEMUA PASTI ...: Alhamdulillah, Allah SWT memberi ruang dan peluang untuk saya membuat coretan di dalam blog ini bagi berkongsi dengan saudara-sau...

tandatangan

ITU SEMUA RANJAU DALAM PERJALANAN DAN SEMUA PASTI MELALUINYA




Alhamdulillah, Allah SWT memberi ruang dan peluang untuk saya membuat coretan di dalam blog ini bagi berkongsi dengan saudara-saudara sekalian berkenaan kejayaan dan kekecewaan. Saya mohon untuk sahabat-sahabat sekalian membetulkan kesilapan saya andai saya tersalah kata dan berbicara. Mudah-mudahan Allah memberi Rahmat dan Limpah kasih sayang kepada kita semua. insyaAllah.

Kekecewaan ini lumrah hidup manusia, setiap orang pasti melaluinya. Jika hidup ini dipenuhi dengan kemanisan sahaja tiada juga indahnya. Kekecewaan atau dimaksudkan patah hati adalah asam garam di dalam resepi kehidupan. Jika hidup tanpa ujian dan kesakitan, nanti kita boleh lupa diri seperti Firaun yang hidup selama 500 tahun tanpa pernah sakit sehingga dia boleh mendakwa dirinya pula sebagai tuhan. 

Ujian ini merupakan cubitan sayang daripada Allah SWT kepada seseorang. Cubitan ini hakikatnya sakit dan pasti seseorang tidak suka dicubit namun bila cubitan itu datangnya dari seseorang yang dikasihi pasti cubitan itu tadi yang sakit menjadi keseronokan. Seorang suami dicubit oleh isterinya pasti dia suka akan cubitan tersebut sebab orang yang mencubitnya adalah orang yang disayangi, tetapi bagaimana pula dia dicubit oleh orang yang tidak dia sayang, pastinya benci akan cubitan tersebut.

Begitulah juga bila Allah SWT menurunkan ujian kepada hambanya, ia adalah cubitan sayang dari Allah SWT. Tetapi kenapa hambanya tidak suka akan cubitan tersebut? Ini kerana cubitan itu bukan datang dari orang yang dia sayang dan bila seseorang marah apabila diuji maka dia tidak menyayangi Allah SWT..

Coretan ini adalah sekadar muhasabah kepada diri saya sendiri dan ingin berkongsi kepada sahabat-sahabat pembaca..


Bersambung….

Isnin, 7 Mei 2012

WAHAI LELAKI



Janganlah hipokrit, semua lelaki perlukan wanita.
Tanpa wanita hati, perasaan dan fikiran lelaki akan rosak.
Mereka masih mencari walaupun ada segalanya.
Apa yang tidak ada di syurga hingga Adam tetap rindukan Hawa?

Pada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri ataupun puteri.
Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi kalau lelaki sendiri tidak lurus, mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Wahai lelaki..
Luruskan wanita dengan jalan yang ditunjukkan Allah.
Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya.
Janganlah cuba menjinakkan mereka dengan harta kerana nantinya mereka semakin liar.

Janganlah menghiburkan mereka dengan kecantikan kerana nantinya mereka semakin menderita.
Yang sementara itu tidak dapat menyelesaikan masalah.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal kerana di situlah punca bagi kekuatan dunia.

Akal wanita setipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hatinya serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman.
Hiasilah ia dengan akhlak.
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan.
Ia bukan diskriminasi Tuhan sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan.
Tanpa ilmu, iman dan akhlak mereka tidak akan lurus bahkan akan bengkok.

Itulah akibat andai wanita tidak kenal Tuhannya.
Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara.
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan, tetapi binalah kepimpinan.
Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Ilahi, pimpinlah diri sendiri kepada-Nya.
Jinakkanlah diri pada Allah nescaya akan jinaklah segala di bawah pimpinanmu.


Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra andai peribadimu tidak sehebat Sayidina Ali Karramallahu Wajhah.

MUHASABAH MELALUI JARI

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.
 Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentu buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

       
            Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira... pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggung- jawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??


           Nah...naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan.


            Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.


           Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.


           Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Di manakah anda sekarang???

KEGAGALAN ADALAH KEJAYAAN YANG TERTUNDA


Agak lama saya tidak berbicara dalam blog saya. Kali nie saya cuba luangkan masa saya untuk mengarang sedikit buat perkongsian saya dan rakan pembaca. InsyaAllah.


          Kegagalan sebenarnya adalah suatu kejayaan yang tertunda. Setiap yang berusaha pasti Allah S.W.T akan membayar balik segala usahanya itu namun jika ia gagal dalam usahanya bermakna kejayaan untuknya ditangguhkan demi memberikan kejayaan yang hakiki. Setiap yang berusaha pasti akan mendapat apa yang diusahakan sebagaimana pepatah Arab ada mengatakan “Siapa yang menanam dia yang akan menuai”, “Siapa yang berusaha pasti akan mendapat”.


          Setiap usaha yang dilakukan pasti mendapat ganjaran dari usaha itu, Cuma cepat atau lambat sahaja. Allah S.W.T tidak zalim kepada hamba-hamba-Nya, siapa yang berusaha pasti Allah S.W.T akan mengganjari setimpal dengan usahanya. Tapi kenapa sering kali kita lihat orang yang berusaha bersungguh-sungguh tapi akhirnya gagal? Hakikatnya mereka tidak gagal tetapi kejayaan mereka ditunda oleh Allah S.W.T sama ada sebagai ujian ataupun untuk diberi kejayaan yang lebih besar. Yang gagal adalah orang yang tidak berusaha untuk bangun selepas GAGAL.


          Dengan sifat “Ar-Rahim”, Allah S.W.T akan memberikan balasan kepada semua hamba-hamba-Nya atas apa yang diusahakan. Bersambung...